Monday, July 30, 2012

Tarbiyyah Ramadhan

Sudah 11 Ramadhan.
Alhamdulillah.
Bernyawa dan gagah.
Tarbiyyah dari Tuhan bulan ini terasa berganda-ganda.
Bercadang untuk mengambil sedikit masa menulisnya buat peringatan di masa depan.

Tarbiyyah 1.

Ramadhan-tarawih...bagai lagu dan irama, tak lengkap tanpa seiring.
Memandangkan makhluk Allah spesimen pemerhatian dan ujikaji saya juga cuma berkembangbiak musim ini, jadi saya harus mengejar kedua-duanya.
Harus seimbang.
Semoga tidak lelah, dengan ingatan semuanya kerana Allah.
Memandangkan harus pulang awal dari biasa untuk menyiapkan menu berbuka, saya decide untuk mengawalkan waktu mula kerja. Bermakna malam harus tidur awal kerana harus pula bangun menyiapkan sahur. Syukur suami tidak cerewet makannya, dan sangat membantu.
Atas startegi ini, saya jarang bertawawih di Masjid Al-Salam kecuali jika esoknya tidak ke lab, cuma di rumah, bersama adik2 undergrad di kejiranan sini. Berjemaah cuma bacaannya tidak panjang, cuma semampunya juz Amma =)
Percaya rahmat Allah untuk sesiapa sahaja dalam apa cara sahaja usaha kita untuk ibadahnya, maka saya tenteramkan hati atas keterbatasan  ini.

Namun sesekali menghadiri tarawih di masjid. Saya akui agak "terkejutan budaya".
Di Malaysia, lazimnya kita pergi ke masjid tempat kita membesar dan di kejiranan.
Yang semuanya sama fahamannya tentang agama Allah ini dengan kita.
Di sini, bercampur baur.
Berbagai warna.
Berbagai ragam.
Maka, kita berpeluang merenungi bukan sekadar teori baca firman Allah yang ini...

"Wahai manusia ! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak , supaya kamu berkenal-kenalan (beramah mesra antara satu dengan lainnya). Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu. Sesungguhnya Allah amat mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuannya." (Q.S.al-Hujurat : 13)


Sungguh, untuk menjadi yang mulia itu, untuk menjadi yang takwa itu...rupa-rupanya tidak mudah.
Berbagai bangsa, berbagai negara, berbagai kefahaman, berbagai mazhab, berbagai cara.
Sungguh variasi.
Tapi yang pasti, kami semua di situ, di rumah Allah itu, ada satu persamaan. 
Kami semua percaya Allah itu satu, dan Muhammad SAW itu penyampai kebenaranNya. 
Dalam usaha "mengenal" saudara-saudara baru ini, pembacaan tentang luasnya praktis Islam ini, buat masa terisi. Buat dada sesak dengan persoalan, buat perasaan ingin tahu membuak-buak. Syukur internet dan orang berilmu masih ada di sini. Yang pasti hingga saat ini masih terlalu banyak untuk dibaca dan difahami. 
Anugerah bukan? 
Dari bingung kepada tahu.
Dari sempit kepada lapang. Hati dan fikrah. 

Juga belajar sesuatu.
Akhir-akhir ini terasa ingin menyediakan diri menjadi ibu kepada bakal mujahid dan mujahidah.
Jadi sibuk memerhati cara didik asuhan anak-anak soleh solehah dari yang sudah terlebih dahulu dikurniakan rezeki zuriat. 
Sebelum ini selalu saya katakan, anak-anak di masjid itu satu pembiasaan kepada biah solehah.
Tapi bila berterawih, mungkin kerana begitu pentingkan diri sendiri, mahu khusyuk lah kononnya, terasa terganggu dengan larian tawa riang gurau senda anak-anak kecil kesayangan Allah.
Moga Allah ampunkan perasaan itu. 
Perasaan ini harus dicabar, dididik, supaya hilang, supaya mampu tenteram dengan kehadiran bunyi-bunyian itu. Ia tidak harus kekal dalam hati. Ia harus dihilangkan. 
Semoga mampu sebelum berakhirnya bulan tarbiyyah ini.
Cumanya, belajar, untuk menanam niat, supaya mampu di masa depan, dengan izinNya mampu mendidik diri untuk dicontohi anak-anak bagaimana berkelakuan di masjid. 
Saya temui artikel yang ditulis dengan baik, buat panduan diri. 


Semoga termampu, untuk jadi ibu yang mampu itu.

Hidup dengan doa. 



No comments:

Post a Comment